15 August, 2011

Masih Adakah Harapan? Suami menyesal dan bertaubat tetapi....

Assalamualaikum tuan/puan.

Saya ketika ini mempunyai masalah yang amat besar dalam hidup rumahtangga saya. Puncanya adalah salahlaku dari saya. Untuk pengetahuan tuan/puan saya telah melakuan zina terhadap seorang pelacur ketika isteri saya baru melahirkan anak kedua dua minggu. Minggu lepas isteri saya telah dapat menghidu perkara ini dan saya tidak dapat menggelak lagi dan terpaksa memberitahu perkara yang sebenar.

Isteri saya amat kecewa, sedih dan pilu. Dia amat marah pada saya dan tidak dapat menerima saya dan memandang jijik pada saya. Begitu juga keluarga. Kesemua orang tidak dapat menerima perbuatan saya.

Ketika ini isteri dan anak-anak saya tinggal di rumah mak mertua saya.

Saya tidak tahu kenapa saya sanggup melakukan perkara sedemikian. Saya betul-betul bertaubat. Saya mengakui selama ini saya memang lalai solat. Mungkin hati saya telah hitam dan tidak nampak anak dan isteri semasa melakukan kerja terkutuk itu.

Saya amat sayang isteri dan anak-anak saya. Tapi sekarang saya rasa mereka amat sukar menerima saya kembali. Isteri saya pernah berkata sekiranya dia menerima saya hanyalah disebabkan anak-anak. Tapi hatinya tetap tidak menerima saya sebagai suami, hanya ayah kepada anak-anak kami.

Fikiran saya buntu ketika ini. Tiap-tiap malam saya solat taubat, tahajud, hajat. Tapi ini antara saya dengan tuhan. Macamana saya dengan isteri dan keluarga. Dosa saya dengan tuhan mungkin diampunkan. Tapi dosa saya dengan isteri, anak-anak dan keluarga macamana.

Diharap tuan/puan dapat menolong mecari jalan untuk saya dan isteri agar dapat saya hidup bersama kembali. Saya tidak dapat berpisah dengan isteri saya. Saya juga ingin memerlukan kaunseling keluarga untuk diri saya dan yang paling utama adalah untuk isteri saya. Sekarang ni dia dah gila meroyan. Diharap tuan/puan dapat menolong saya. Sebaiknya saya berharap pihak kaunselor dapat meluangkan masa untuk berjumpa dengan kami secara bersemuka bagi mengatasi masalah ini. Walaupun bayaran dikenakan saya sanggup asalkan jiwa isteri saya kembali pulih.


JAWAPAN

Bismillahirahmanirahim.

Asalamualaikum,

Semoga diri saudara sekeluarga di dalam rahmat Allah swt.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sudara kerana menulis kepada kami untuk sama-sama melihat kemusykilan yang saudara hadapi dan berharap semoga sama-sama kita mengenalpasti dan meleraikan kesulitan tersebut. Saya bukanlah orangnya yang boleh menyelesaikan masalah yang saudara hadapi secara muktamad tetapi insyallah dengan kekuatan dan kesungguhan saudara sendiri untuk meleraikannya maka diharap proses ke arah penyelesaian itu akan lebih mudah lagi.

Marilah kita melihat kembali kepada perkara yang telah berlaku.

Saudara telah mengaku bahawa kegawatan yang berlaku di dalam rumahtangga saudara sekarang ini adalah disebabkan oleh perbuatan saudara sendiri. Peristiwa tersebut ialah saudara telah melakukan zina dengan seorang pelacur ketika isteri saudara baru melahirkan anak saudara yang kedua.
Isteri saudara menyedari perbuatan saudara maka dengan tidak dapat mengelak lagi maka saudara terpaksa mengaku. Hasilnya maka isteri saudara telah lari meninggalkan saudara dan tinggal di rumah ibu bapanya. Dia juga telah menyatakan bahawa dia tidak lagi akan menerima saudara kecuali menerima saudara sebagai ayah kepada anak-anaknya tetapi hatinya tidak akan menerima saudara sebagai suaminya lagi.

Kalau dilihat dari segi kesungguhan saudara menyatakan penyesalan, saudara nampaknya telah insaf dan saudara juga telah bertaubat. Saya berharap dan berdoa agar taubat saudara itu diterima Allah. Saya percaya taubat itu diterima Allah kerana Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Saya ucapkan tahniah kepada saudara kerana cepat tersedar dan cepat bertaubat terhadap perbuatan saudara yang terlanjur itu. Teruskanlah usaha saudara itu iaitu untuk memohon kepada Allah agar diperkenankan segala doa saudara khususnya agar dikembalikan hati yang telah lari itu datang semula ke dalam hidup saudara.

Namun apa yang berlaku sekarang ini ialah kemaafan saudara itu belum lagi diterima oleh isteri dan keluarganya. Setakat ini isteri saudara belum lagi menerima saudara. Sengaja saya gariskan perkataan 'belum menerima' itu kerana harapan untuk dia menerima kembali saudara masih ada dan cerah, insyallah.

Bagi saya itu adalah hak mereka untuk belum lagi menerima kemaafan saudara memandangkan saudara terlalai untuk menjalankan tanggungjawab saudara terhadapnya semasa dia baru melahirkan anak tempoh hari. Bukan mudah bagi seorang isteri yang normal boleh menerima perbuatan yang telah saudara lakukan. Oleh itu ia memerlukan masa dan kesungguhan dari saudara sendiri untuk meyakini isteri saudara terhadap apa yang saudara janji dan ikrarkan. Tidak semudah itu mereka akan dapat menerimanya kerana mereka juga tidak dapat menerima apa yang telah saudara lakukan terhadap mereka. Maka kenyataan ini, buat ’sementara waktu’ ini sama ada saudara suka atau tidak perlulah saudara laluinya. Itu sahaja yang saya lihat pilihan yang saudara ada. Kata-katanya yang dia hanya menerima saudara sebagai ayah tetapi bukan suami, menggambarkan kemarahannya kepada saudara. Apakah pilihan saudara selain dari menerima dengan pahit kenyataannya itu. Kalaulah boleh perkara ini dapat dianggap sebagai sementara maka anggaplah ia sebagai sementara, namun begitu ia tetap akan bergantung kepada kesungguhan saudara untuk menyatakan kekesalan saudara tersebut tanpa berputus asa. Segala-galanya banyak bergantung kepada kesungguhan dan kesabaran saudara untuk dia menerima saudara kembali. Kalau dulu saudara boleh melakukan sesuatu itu tanpa ada apa-apa alasan darinya, saya kira sampai masanya saudara juga terpaksa menerima apa-apa juga darinya tanpa ada apa-apa alasan dari saudara. Tidak ada syarat yang saudara boleh kenakan kepada isteri saudara sama jugalah tidak ada syarat yang dia boleh kenakan kepada saudara semasa saudara melakukan perkara itu dulu. Perkara ini banyak bergantung kepada keadaan dan masa. Setakat ini saya kira usaha yang saudara tunjukkan itu betul, iaitu memohon kemaafan darinya dan sementara itu menunggu masa yang sesuai untuk bertindak dan mengambil langkah seterusnya.

Insyallah, pertemuan boleh diaturkan, namun ada beberapa perkara yang saudara perlu bersedia untuk berhadapan dengan pertemuan tersebut;

Pertama, perlu ada satu keyakinan dari saudara sendiri untuk menyatakan keikhlasan dari hati saudara tentang kesilapan yang telah berlaku dan satu usaha yang praktikal perlu dilakukan agar perbuatan tersebut tidak akan berulang. Pendek kata satu jaminan perlu diberikan kepada isteri saudara tentang apa yang berlaku itu adalah merupakan satu kesilapan dan ia tidak akan berlaku lagi.

Kedua, satu jawapan mengapa saudara melakukan perkara itu semasa isteri baru dua minggu melahirkan anak saudara yang kedua perlu disediakan. Soalan ini sebenarnya sangat popular dan saudara perlu menjawabnya secara ikhlas dan jujur. (Soalan ini mungkin akan ditanya oleh isteri saudara mungkin juga tidak, namun saudara perlu bersedia untuk menjawabnya). Jawapannya nanti tergantung kepada respon yang akan diberikan oleh isteri saudara sendiri sama ada dia boleh menerimanya atau tidak. Kalau dia boleh menerima, maka proses untuk memulihkan hubungan tersebut akan menjadi lebih mudah tetapi sekiranya dia tidak berpuas hati dan tidak menerima alasan perbuatan tersebut maka prosesnya akan menjadi lebih panjang lagi. Namun saudara usahlah bimbang, kerana untuk meluruskan kembali besi yang telah bengkok memerlukan satu kerja yang sukar dan kadang-kadang memerlukan usaha yang berlipat ganda. Saya yakin usaha yang saudara tunjukkan sekarang ini, iaitu untuk menghubungi kami adalah merupakan satu usaha yang berani dan ikhlas ke arah untuk menjernihkan suasana. Saya yakin usaha yang baik ini akan berjaya.

Dua perkara mungkin akan terjadi semasa proses ingin mengembalikan keyakinannya terhadap saudara.

Pertama, dia menerimanya tanpa syarat. Hasilnya, insyallah semuanya akan kembali normal.

Kedua, dia menerima saudara tetapi dengan bersyarat. Hasilnya mungkin ia memerlukan saudara memikirkan tentang syarat yang diberi dan setakat mana saudara boleh menerimanya. Saya fikir sekiranya saudara mahu boleh bertolak ansur maka segalanya akan beres.

Ketiga, dia tidak menerima saudara dan menolak saudara mentah-mentah. Hasilnya saudara perlu memikirkan jalan lain untuk memenangi hatinya mungkin dengan cara memberi tempoh masa baginya melakukan refleksi dan muhasabah pada dirinya, dan pada akhirnya mudah-mudahan Allah akan membukakan pintu hatinya untuk saudara jika saudara benar-benar ikhlas untuk masih mahu bersama dengannya. Saudara juga boleh memikirkan untuk diadakan pertemuan di antara dia, saudara dan saya untuk memulihkan kembali keadaan.

Jadi untuk itu kita lihat dahulu manakah di antara 3 pilihan tadi yang boleh dilaksanakan.

Namun, Allah jualah yang akan memudahkan sesuatu jalan maka padaNyalah kita harus menyerahkan segala urusan. Namun usaha kita untuk melaksanakannya sudah tentulah dituntut kerana kebijaksanaan kita untuk meleraikan masalah ini akan disertai oleh pertolongan Allah swt. Allah akan menolong kepada mereka yang menolong dirinya sendiri.

Selepas saudara mendapat sedikit maklumat seperti di atas di harap dalam e-mail saudara yang akan datang sila kemukakan apakah tindakan yang saudara akan ambil dan bagaimanakah saudara ingin melaksanakannya. Mungkin kita boleh bincangkan perkara ini dengan lebih lanjut lagi. Selepas itu jika perlu mungkin pertemuan susulan boleh diadakan.

Sekian terima kasih.

Dr Ramlan Hamzah.

1 comment:

Anonymous said...

Dr...bagaimana cara untuk mendapatkan kembali kepercayaan drp suami yg curang? Dan bagaimana utk bahagia semula jika dlm perkahwinan kita sudah tidak percaya lagi pada suami?