15 August, 2011

ISTERI INGIN MEMOHON CERAI


Saya ingin bertanya tentang hasrat yang ingin memohon perceraian dengan suami sekarang. Masalah antara kami dah berlarutan selama 3 tahun. Tiada lagi komunikasi antara kami dan tidak pernah bersama lagi dalam tempoh tersebut.

Masalahnya saya tidak lagi rasa antara kami ada kesuaian. Dia tidak pernah memberi nafkah selama tempoh tersebut dan saya juga tidak memintanya sebab tidak mahu akhir nanti diungkit semua itu. Saya bekerja dan menanggung sendiri perbelanjaan anak dan diri sendiri. Kami tinggal di rumah mak saya kerana dia sendiri tidak mahu berpindah keluar.

Saya hilang kepercayaan kepada dia kerana setiap apa yang saya katakan padanya akan disampaikan kepada ibu saya yang akhirnya membawa kepada pertelingkahan antara saya dan ibu saya. Dia sendiri tak pernah berbincang apa-apa dengan saya sebaliknya menggunakan ibu saya sebagai orang tengah. Saya pernah berbincang tentang hasrat ingin bercerai tetapi dia kata tanya mak saya kalau dia beri. Antara dia dan ibu saya memang rapat dan ibu saya lebih dengar kata-kata dia dari saya sendiri. Kami berkahwin bukan atas dasar cinta.

Tolonglah, saya dah tak mampu hidup berpura-pura macam ni. Tak sanggup dah menipu diri sendiri sedangkan dalam hati saya tak ada langsung rasa kasih dan semakin hari semakin benci kepadanya... tolonglah saya.


JAWAPAN

Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum wbt. semoga diri saudari dan anak berada di dalam rahmat Allah swt. Kami mengucapkan terima kasih kerana kepercayaan yang saudari berikan kepada kami untuk merungkai kekusutan yang berlaku di dalam kehidupan diri saudari sekeluarga. Insyallah tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan tidak ada kusut yang tidak dapat dileraikan cuma kita perlukan sedikit daya usaha, kreativiti dan kesabaran untuk meleraikannya.

Apa yang saya faham dari cerita saudari adalah seperti berikut;

Saudari telah mendirikan rumahtangga bersama suami saudari tanpa rasa cinta. Kini saudari telah dikurniakan seorang anak.

Masalah telah berlarutan selama tiga tahun. Dalam masa tiga tahun ini saudari tidak lagi berkomunikasi dengan suami, malah saudari juga tidak lagi bersama dengan suami. (Bersama di sini saya andaikan tidak lagi mempunyai hubungan kelamin dengan suami dan juga tidak tinggal serumah)

Saudari juga merasakan bahawa saudari dengan suami memang tidak ada kesesuaian lagi. Suami juga tidak memberi nafkah kepada saudari dan anak dan saudari juga tidak mahu meminta kerana tidak mahu diungkit dikemudian hari.

Saudari juga telah tidak duduk bersama dengan suami dan mengikut apa yang saya faham saudari sendiri telah keluar dari rumah lalu duduk di rumah ibu kerana suami saudari tidak mahu keluar.

Saudari juga sekarang ini hilang kepercayaan kepada suami kerana apa sahaja yang saudari bincangkan perkara itu akan disampaikan kepada ibu saudari sendiri dan ibu saudari juga nampaknya sangat rapat dengan suami saudari.

Dan perkara pokok dan penting di sini ialah saudari rasa lemas dan tidak mahu lagi hidup berpura-pura dan hati saudari semakin jauh dan semakin benci kepada suami.
Itulah 6 perkara pokok yang dapat saya nukilkan kembali kepada saudari mengikut apa yang saudari telah luahkan kepada saya. Memang saya dapat rasakan betapa berat dan pedihnya saudari menanggung semua ini kerana bagi saya 3 tahun hidup di dalam kepura-puraan bukanlah jangka waktu yang singkat.

Biarlah kita merungkaikan kembali perkara-perkara di atas tadi agar ia lebih jelas dan seterusnya akan menjadi jalan untuk saudari melepaskan diri dari siksaaan ini.

Matlamat saudari kini ialah ingin bercerai dari suami. Bercerai dan berkahwin prosesnya sama. Agama kita mengesyorkan agar kita berkahwin jika kita telah bersedia untuk itu dan agama kita juga memberi jalan untuk bercerai sekiranya tidak ada jalan lain lagi untuk bersama di dalam ikatan perkahwinan. Anjuran agama itu sangat mudah. Jika kita semua memahami perkara ini, maka tidak akan timbul sebarang masalah yang besar.

Beberapa langkah mungkin boleh difikirkan untuk dilaksanakan oleh saudari.

Soalan pertama yang perlu difikirkan ialah sudahkah saudari memikirkan semasak-masaknya untuk berpisah dengan suami? Apakah perasaan saudari memang telah kosong terhadapnya? Sudahkah saudari memikirkan akibat selepas perpisahan ini nanti. Adakah alasan saudari untuk berpisah dengannya itu memang satu alasan yang lahir dari dalam perasaan saudari sendiri bukannya ada punca atau faktor lain? Sudahkah saudari membuat pertimbangan bahawa perpisahan ini adalah lebih baik dari hidup bersama? Tidak adakah cara lain lagi untuk mengubah perasaan saudari terhadap suami saudari?

Apabila semua persoalan tersebut telah terjawab ataupun sebahagiannya telah terjawab dan jawapannya berat kepada "masih mahu berpisah" maka langkah seterusnya bolehlah difikirkan.

1. Hasrat saudari perlu diketahui oleh suami dengan jelas. Untuk dia tahu saudari perlu memberitahu. Cara memberitahu ada berbagai cara. Saudari lebih mengenali suami saudari. Kalau selesa dengan perbincangan dan secara lisan maka nyatakannya secara lisan dan perbincangan. Kalau saudari merasakan dengan menulis lebih meyakinkan maka tulislah perkataan yang baik-baik tanpa menyinggung dan merendah-rendahkan martabat masing-masing. Kalau saudari rasa ibu saudari boleh menjadi orang tengah untuk di sampaikan perkara itu, gunakan budi bicara saudari untuk menyatakan kepada ibu untuk di sampaikan kepada suami saudari. Jika ibu tidak bersetuju nyatakan secara terus terang kepadanya hasrat saudari itu dengan jujur dan ikhlas. Biarpun pahit, namun perlu ditelan juga. Jangan biarkan ia jadi penyakit, kerana penyakit sukar diubat. Perkara yang benar perlu dijelaskan agar semua orang faham walaupun ramai yang tidak bersetuju. Tidak semua perkara yang tidak dipersetujui itu salah dan tidak semua perkara yang dipersetujui itu betul.

2. Selepas hasrat itu disampaikan 2 kemungkinan akan berlaku.

Pertama, suami bersetuju. Apabila suami bersetuju, masalah selesai. Dia hanya perlu mengucapkan perkataan itu dan saudari hanya menunggu edah untuk segala-galanya selesai. Segalanya ini akan dibereskan di pejabat kadhi. Biarlah semasa berkahwin dahulu kita beradat dan semasa bercerai juga kita masih beradat. Walaupun ikatan nikah telah terputus namun ikatan persahabatan jangan diputuskan kerana anak masih memerlukan ibu dan ayah untuk dia membesar secara sihat. Biarlah anak tahu bahawa ayah dan ibunya tidak boleh bersama tetapi masih boleh bersama untuk membesarkannya.

Kedua, suami tidak bersetuju. Dia membangkang. Dia memberikan berbagai alasan. Dia mungkin boleh menuduh saudari melakukan pelbagai kesalahan dan kesilapan. Dia mungkin boleh menuduh saudari ingkar tidak mengikut kemahuannya, dia boleh menuduh saudari keluar dari rumah tanpa persetujuannya, dia mungkin boleh menuduh saudari tidak melayan nafkah batinnya. Apabila perkara ini berlaku maka prosesnya akan lebih panjang. Ia akan mengambil masa. Mungkin saudari akan ke pejabat kadhi untuk menerangkan beberapa perkara, suami saudari juga akan dipanggil dan diminta membuat penerangan. Semua perkara mungkin akan keluar. Saudari akan menyatakan sebab-sebab saudari ingin dilepaskan dan mungkin suami saudari akan cuba mempertahankan. Di sinilah hakim atau kadhi akan memutuskan sama ada perlu suami melepaskan saudari atau saudari suami isteri akan dirujuk kepada sesi kaunseling pejabat agama. Sekiranya masih lagi gagal untuk memperbaiki ikatan mungkin mahkamah akan meminta suami saudari untuk melepaskan saudari. Dalam proses ini banyak dugaan dan cabaran perlu ditempuhi. Saudari perlu bersabar dan bertenang. Tidak ada suami yang dengan mudah sahaja untuk melepaskan isterinya tanpa sebab-sebab yang boleh diterima. Lebih-lebih lagi pula kalau kesilapan banyak dilakukan oleh isteri. Di sinilah letaknya kesabaran saudari. Seperti yang saya katakan tadi jika proses ini dapat dijalankan dengan baik maka ia tidak akan memberi kesan yang mendalam kepada saudari dan anak saudari.

Itulah proses yang berlaku sekiranya suami tidak mahu melepaskan saudari. Namun beberapa perkara lagi perlu diambil kira iaitu tentang perhubungan suami saudari dengan ibu saudari. Perhubungan itu sebenarnya baik tetapi jika pihak ibu menyebelahi suami ini akan mendatangkan masalah juga kepada saudari. Namun, bagi saya saudari telah mengenali ibu saudari dan saudari mungkin faham naluri seorang ibu. Saudari perlu pandai berkomunikasi dan pandai meyakinkan ibu saudari supaya nanti ini tidak akan menjadi duri dalam daging. Bukan sahaja saudari hilang suami tetapi mungkin juga akan kehilangan seorang ibu. Perkara ini perlu difikirkan.

Akhir sekali saya serahkan kembali kepada kebijaksanaan dan budi bicara saudari untuk menangani kesulitan ini. Langkah telah dinyatakan, cadangan fikiran telah dikemukakan akhirnya ia berbalik kepada saudari untuk menggunakan kebijaksanaan untuk menghadapi situasi tersebut. Melalui perbincangan dan panduan di atas diharap saudari telah mendapat sedkit petunjuk untuk bertindak ke arah kebaikan yang saudari idamkan.

Kami di sini berdoa agar kita mendapat keampunan dari Allah swt terhadap apa sahaja yang kita lakukan. Biarlah kita melangkah dengan langkah yang baik dan berniat dengan niat yang baik. Selepas itu kita serah kepada Tuhan Pencipta untuk menentukan kesan terhadap tindak tanduk kita. Insyallah kalau kita berniat baik maka baiklah hasilnya dan Allah akan membantu kita ke arah kebaikan.

Wasallam.

Dr Ramlan Hamzah



No comments: