15 August, 2011

Kasih Isteri Berubah: Suami Bingung dan Tertekan

Assalamualaikum Tuan/Puan,

Masalah saya:

Kami bernikah pada 2008, masih belum mendapat zuriat. Dan saya amat menyayangi isteri dan menerima isteri seadanya. Beza umur kami, saya lebih tua 10 tahun dari isteri.

Sejak dari 4 bulan lepas, isteri saya telah terus tidak mahu berhubungan dengan saya dari segi rohani & jasmani. Malah tidak mahu bercakap, atau bercakap dengan nada yang keras dan bermuka masam dengan saya.
Berbagai usaha saya lakukan untuk memenangi kembali hati isteri namun ditolak dengan berbagai alasan, antaranya:

dia sudah tawar hati.
hidupnya penuh duka dari bahagia.
sudah tidak tahan dengan perangai saya.
menyuruh saya memikat nya semula sama seperti waktu bercinta.
saya gagal memberi zuriat.
Malah pernah dia mengatakan bahawa dia tidak kisah jika saya ingin berkasihan dengan perempuan lain atau berkahwin dengan orang lain dan dia rela bermadu.

Ini adalah antara alasan dan perkataan yang keluar dari mulut nya sewaktu saya mengajak isteri berbincang untuk kembali berbaik-baik. Namun hingga kini tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan isteri saya akan berubah dan taat kepada saya.

Ada diantara sms yang dihantar kepada saya, seperti salinan di bawah:

"Plslah..saya xlarat nk truskn perkahwinan ni..hati saya xboleh nk terima awak lg.."
"Saya rasa elok kita berpisah buat sementara..fikirlah utk kbaikan diri sendiri..fikirlah boleh ke rumahtgga ni kekal bahagia smpi ke tua..sbb pd saya 2thn ni saya byk berduka dpd bahagia.."
"Its not about money..its all about you..kita mmg xnmpk buruk sendiri tp org keliling nmpk..tp buruk awak, buruk yg mmg saya xboleh tahan & terima lg.."
"Takde apa yg boleh dibincangkn..takde peluang lagi utk kita.."
Semenjak awal Ogos, isteri sudah tidur berasingan, saya tidur di bilik dan dia keluar tidur disofa tanpa berkata apa-apa.

Pada suatu hujung minggu, isteri tidak mengikut saya pulang ke kampung untuk kenduri, dan isteri mengatakan bahawa dia ingin bercuti untuk ‘menenangkan fikiran’. Saya izinkan, tetapi apabila saya Tanya bercuti dimana dan dengan siapa, isteri menjawap dengan keras jawapan nya "dengan siapa-siapa, dan dimana-mana lah", isteri tetap tidak memberitahu arah dan dengan siapa dia pergi bercuti. Saya rasa marah dan tertekan namun, saya reda dan pendamkan perasan dengan banyak bersabar.

Bagi saya perselisihan pendapat adalah normal dalam rumahtangga, dan seharusnya tidak boleh dipanjangkan ke tahap kritikal. Tetapi didalam kes saya, saya tidak dapat mengenal pasti apakah isunya yang telah mencetuskan pemasalahan kami hingga ke saat ini. Apabila ditanya pada isteri dia tidak pula menyatakan apakah punca kemarahan dia.

Saya mengalami tekanan dalam hidup disebabkan oleh tindakan isteri saya. Telah beberapa kali saya memujuk dan meminta dimaafkan, namun isteri saya tetap berkeras hati. Dan setiap kali itu lah saya rasa berkecil hati dan tertekan. Saya jadi bingung memikirkan punca pemasalahan hubungan kami.

Kini saya nekad untuk keluar dari rumah (kediaman keluarga mertua), dan akan tinggal berasingan dari isteri. Niat saya adalah untuk menyedarkan dan meredakan perasaan marah isteri kepada saya. Saya berharapan agar isteri sedar, memaafkan saya dan meminta maaf atas kelakuannya pada saya. Sekiranya yang baik berlaku atau sebaliknya saya serahkan segalanya pada kuasa Allah.

Saya hanya membuat rujukan dan nasihat dari kawan-kawan, saya belum lagi mencerita kan hal ini kepada ibubapa atau pun mertua. Diharap Tuan dan Puan dapat member buah fikiran untuk membantu saya dengan pemasalahan ini, dan juga menjawab persoalan yang saya utarakan di atas.

Sekian terima kasih.

Yang benar,
DiJemu2010.



Jawapan

Assalamalaikum. Salam sejahtera semoga saudara di dalam keadaan sihat.

Apa yang saya faham dari isu yang saudara kemukakan ialah pada 2008 saudara telah bernikah dengan seorang wanita yang lebih muda 10 tahun dari saudara. Saudara menyintainya tanpa syarat. Anda menerima dia seadanya. Tapi kini dalam masa lebih kurang 2 tahun perkahwinan, saudara berada di dalam keadaan serba salah disebabkan oleh sikap isteri yang berubah. Antara sikap isteri yang saudara gambarkan kepada saya ialah;

Isteri telah tidak mahu berhubungan dengan saudara dari zahir dan batin.
Jika bercakap pun, dia akan berada di dalam keadaan tidak rela
Beberapa alasan telah saudara nyatakan antaranya ialah;

Isteri telah tawar hati terhadap saudara
Hidup isteri penuh duka dari bahagia
Isteri telah tidak dapat menerima perangai saudara
Saudara sebagai suami gagal memberi zuriat
Isteri juga merelakan saudara bertemu orang lain dan bermadu
Antara sms yang saudara terima darinya ialah;

Tidak mahu meneruskan perhubungan sebagai suami dan isteri
Tidak yakin kekal dengan perhubungan
Tidak boleh terima keburukan saudara
Tidak ada peluang dan tidak perlu berbincang lagi
Isteri juga sanggup tidur berasingan dari saudara dan pernah suatu ketika dia bercuti bersendirian tanpa di teman oleh suami. Walaupun saudara marah dan tertekan tetapi saudara memberi keizinan kepadanya untuk bercuti bersendirian. Saudara keliru kerana saudara tidak dapat mengenalpasti apakah isunya yang dibawa oleh isteri. Kini saudara telah bersedia dan nekad untuk keluar dari rumah dan tinggal berasingan dari isteri saudara.

Ada beberapa perkara yang boleh saudara fikir dan teliti dengan mendalam tentang perhubungan ini. Pertama, isteri ada menyatakan bahawa hidupnya penuh duka. Saudara boleh meneroka tentang kedukaan yang dialami oleh isteri. Apakah kedukaan yang dialami dan apakah sebabnya kedukaan itu berlaku. Saudara juga boleh meminta kepada dia bagaimanakah saudara boleh membantu dia untuk mengubat kedukaan tersebut. Atau dia hanya ingin meletakkan kesalahan kepada saudara?

Saudara juga ada menyatakan yang isteri menghantar sms kepada saudara menyatakan dia tidak lagi dapat menerima perangai saudara? Apakah perangai saudara yang dia tidak dapat terima. Bagaimana saudara telah berbincang dengan isteri tentang perangai saudara yang dia tidak suka. Adakah benar perangai saudara itu memang menyakit dan menyeksakan dia. Atau sekali lagi dia hanya ingin mencari dan meletakkan kesalahan kepada saudara?

Satu lagi perkara yang saudara nyatakan ialah dalam masa 2 tahun berkahwin saudara masih lagi belum mendapat zuriat. Perkara ini perlu jelas adakah masalah ini datang dari saudara atau dia. Adakah perkara zuriat ini sangat penting dan telah dibincangkan dengan isteri? Apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk sama-sama memahami dan dapat menerima keadaan tersebut?

Satu lagi perkara yang dapat saya kesan ialah saudara dengan isteri tinggal serumah dengan ibu dan bapa mertua. Perkara ini juga boleh difikirkan kerana kehadiran pihak ketiga di dalam rumahtangga yang baru dibina kemungkinan boleh mendatangkan masalah. Saya tidak kata ia boleh mendatangkan masalah cuma, kemungkinan saudara dan isteri saudara tidak dapat meluahkan perasaan dengan bebas kerana ingin menjaga hati pihak yang ketiga. Apabila perkara sebegini berlaku, banyak perkara perlu dibincangkan dengan lebih telus dan jangan dipendam kerana akhirnya ia akan menjadi masalah yang lebih besar.


--------------------------------------------------------------------------------

Apabila perkara sebegini berlaku, banyak perkara perlu dibincangkan dengan lebih telus dan jangan dipendamkan kerana akhirnya ia akan menjadi masalah yang lebih besar.

--------------------------------------------------------------------------------

Namun selepas saya membaca dan meneliti isi kandungan surat saudara, saya dapat gambaran yang perhubungan saudara dengan isteri kini lebih berat sebelah. Saudara kelihatan ingin menjaga perhubungan dan ingin mengekalkan perhubungan sebaik mungkin tetapi pihak isteri menunjukkan suatu sikap yang lain pula. Tidak bekerjasama dan kelihatan sangat dingin terhadap saudara. Kini saudara telah nekad untuk keluar dari rumah dengan harapan untuk memberi kesedaran kepada isteri. Niat saudara baik, cuma saudara perlu menerima risiko atau implikasi yang mungkin boleh berlaku.

Implikasi pertama, isteri mungkin berubah dan ingin kembali kepada saudara. Mungkin pada masa itu dia dapat melihat kebaikan-kebaikan yang telah saudara lakukan terhadapnya dan dia akan sedar semula kepentingan perhubungan itu dengan syarat dia juga mendapat nasihat yang baik dari ibubapa atau saudara mara dia yang lain. Implikasi kedua ialah saudara dan isteri mungkin akan semakin jauh. Mungkin dia rasa lebih bebas dan dapat membebaskan diri dari keadaan yang membuatkan dia rasa tidak selesa bersama saudara. Jika implikasi kedua ini berlaku maka saudara tidak ada pilihan kecuali menerima dengan tenang dan penuh tabah dan sekurang-kurangnya saudara tidak lagi dibelenggu dengan orang yang tidak mempunyai perasaan lagi terhadap saudara.

Apa jua keputusan atau hasil dari tindakan yang saudara lakukan hendaklah disertai dengan doa dan harapan semoga semuanya akan berjalan dengan keadaan yang baik. Ada masanya manusia perlu mencari ketenangan untuk mengubat hati yang luka. Jika saudara benar-benar memikirkan perkara yang baik akan berlaku, Allah akan memberi jalan yang terbaik buat saudara. Jika jodoh saudara masih ada dan jodoh itu baik bagi saudara maka Allah akan buka jalan untuk memanjangkan usia jodoh saudara. Tetapi sekiranya jodoh saudara tidak ada dan keadaan itu merupakan yang terbaik bagi saudara maka Allah juga akan mendorongkan jalan yang mudah bagi saudara untuk tidak meneruskan ikatan dengan isteri saudara. Perhubungan yang baik ialah apabila kedua-dua pihak berusaha untuk mencari jalan penyelesaian. Perhubungan yang baik juga boleh berlaku sekiranya kedua-dua sanggup melupakan perkara silam yang pahit dan sanggup memaafkan perkara buruk yang telah berlaku dan bersedia untuk bekerjasama semula untuk masa hadapan yang lebih cerah.

Semoga dengan jawapan ini saudara nampak jalan untuk melangkah dan tabah menghadapi setiap keputusan yang mendatang.

Sekian terima kasih.
Dr Ramlan Hamzah

6 comments:

Unknown said...

Dr sy sedang menghadpi masalah yg sama dan riaksi yg sama. Sy tertekan skrg. Mcm2 usha dan nasihat sy buat. Tapi hnya mcm dr ckp hnya sbelah pihak iaitu sy. Isteri tak mahu meminta nasihat dari org lain. Ianya berlaku secara tiba2. Bila ditanya dia mahu ruang dan rimas dgn sy. Sy jd bingung dan tertekan. Tetapi sy tidak mahukan perpisahan. Walau mcm mana keras kata2nya sy masih sayang dan kasih terhadap isteri dan anak sy yg berumur 3 tahun. Perkara ni dah berlarutan selama sebulan.

Unknown said...

Dr sy sedang menghadpi masalah yg sama dan riaksi yg sama. Sy tertekan skrg. Mcm2 usha dan nasihat sy buat. Tapi hnya mcm dr ckp hnya sbelah pihak iaitu sy. Isteri tak mahu meminta nasihat dari org lain. Ianya berlaku secara tiba2. Bila ditanya dia mahu ruang dan rimas dgn sy. Sy jd bingung dan tertekan. Tetapi sy tidak mahukan perpisahan. Walau mcm mana keras kata2nya sy masih sayang dan kasih terhadap isteri dan anak sy yg berumur 3 tahun. Perkara ni dah berlarutan selama sebulan.

Anonymous said...

Assalamualaikum Dr Ramlan, email masih boleh diguna pakai lg ke? Terima kasih

Unknown said...

Assalamualaikum
Saya ada masalah dengan suami..masalah nya ialah saya dah xsefahaman dengan dia...saya dah xde hati dengan dia...xde nafsu dengan dia...malah sy xpeduli makan minum pakai dia dan sy xberi nafkah batin selama hampir 3tahun...jadi,saya tidak mahu tambah tanggung dosa lagi...saya meminta dia lepaskan saya dengan cara elok...hantar sy balik rumah mak saya dengan elok...tetapi dia enggan untuk lakukan dan saya percaya dia sengaja tidak mahu lakukan dan biar saya gantung x bertali...

Unknown said...

Assalam dr,Sya pun tengah hadapi masalah

akuwan said...
This comment has been removed by the author.