15 August, 2011
Dilema Ibu Mengandung Di Tempat Kerja
Saya baru mendirikan rumah tangga, dan kini sedang mengandung 1 bulan 2 minggu. Untuk membantu suami saya, saya berkerja di syarikat swasta sebagai kerani. Di tempat kerja saya dikelilinggi lelaki, saya seorang sahaja wanita, dan saya diketua 3 bos yang berketurunan cina lelaki dan berumur awal 50 tahun keatas dan mereka sering membincangkan tentang seks dan mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan bila bercakap.
Saya pula sering mabuk dan muntah-muntah. Ini menganggu kerja saya dan sering dimarahi disebabkan kerja-kerja saya yang tidak teratur kerana saya tak dapat menumpukan perhatian sewaktu berkerja.
Masalah sekarang saya cepat rasa sedih apabila menerima kata-kata yang tidak elok ketika dimarah. Saya takut kandungan saya terganggu. Saya rasa ingin berhenti kerja agar tidak lagi terasa emosi saya diganggu lagi, tetapi ini akan menganggu ekonomi rumahtangga saya. Apa yang patut saya lakukan? Adakah sabar dalam ketakutan atau tenang dalam kesempitan ??????? (TOLONGLAH BANTU INSAN YANG BERMASALAH)
Jawapan
Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum wbt. Semoga diri puan dan bayi di dalam kandungan berada di dalam lindungan Allah.
Di dalam surat puan yang lalu ada beberapa perkara yang puan nyatakan;
Puan baru mendirikan rumahtangga dan kini menggandung lebih kurang dua bulan.
Untuk membantu suami kini puan bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai kerani.
Masalah yang diutarakan ialah;
Mereka yang bekerja dengan puan merupakan lelaki yang sering mengeluarkan kata-kata yang kurang elok didengar oleh puan.
Mereka sering marah-marah kerana kerja yang puan lakukan kurang teratur akbibat daripada perasaan yang kurang tenteram akibat mengandung dan puan tidak dapat memberikan perhatian kepada tugas.
Puan ingin sahaja berhenti kerana risau kandungan puan akan terjejas akibat suasana yang tidak tenteram ini.
Akhir sekali puan meletakkan dua keadaan sama ada mahu memilih sabar di dalam ketakutan atau tenang di dalam kesempitan.
Beberapa perkara masih boleh puan fikirkan iaitu;
1. Adakah bos2 puan ini mengetahui bahawa puan kurang senang dengan gelagat mereka? Adakah puan merasakan mereka patut diberitahu atau puan hanya mendiamkan diri sahaja sambil menahan perasaan? Kalau puan beritahu apakah risikonya?
2. Adakah puan rasa, marah mereka itu berpatutan kerana keadaan kerja puan sendiri yang kurang memuaskan? Apakah yang puan harapkan dari bos2 puan sekiranya kerja puan sendiri tidak memuaskan. Bagaimanakah puan inginkan mereka menegur puan sekiranya puan memang melakukan kesilapan? Adakah mereka tahu apa yang puan inginkan? Adakah puan rasa keinginan puan itu akan dipenuhi?
3. Adakah puan rasa berhenti itu lebih baik untuk diri puan dan bayi di dalam kandungan? Sudahkan puan ajukan perkara ini kepada suami puan dan apakah pandangannya? Sekiranya puan berhenti, apakah perkara yang paling membimbangkan yang mungkin akan berlaku pada diri puan atau keluarga puan?
Saya kira sekiranya beberapa persoalan tadi dapat puan pertimbangkan, maka persoalan sama ada puan memilih sabar di dalam ketakutan atau tenang di dalam kesempitan akan terjawap. Semoga puan dapat petunjuk dari Allah selepas puan mempertimbangkan semasak-masaknya beberapa persoalan yang diajukan diatas.
Pertimbangan yang terperinci akan mendorong keputusan yang lebih baik dan Allah akan membantu sekiranya puan sendiri berusaha untuk membuat pertimbangan yang sebaik-baiknya.
Terima kasih.
Dr Ramlan Hamzah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment