30 June, 2011

Telefon Bimbit Diambil Ayah

MASALAH MINGGUAN

Telefon Bimbit Saya Diambil Ayah

Salam tuan. Saya seorang pelajar tingkatan 4 di Kuala Lumpur. Tahun lepas saya mendapat hadiah sebuah telefon bimbit yang mahal dari ayah saya sebab keputusan PMR saya amat memberangsangkan. Saya seronok mendapat telefon tersebut. Bagi saya telefon dapat menghubungkan saya dengan rakan-rakan yang lain.
 Saya sering menggunakan telefon tersebut. Pada suatu ketika semasa saya asyik menggunakan telefon tiba-tiba ayah saya mengambil telefon tersebut dan menyimpannya sehingga kini. Saya tahu bahawa saya telah membuat kesilapan kerana asyik menggunakan telefon tersebut. Bagaimanakah caranya saya dapatkan semula telefon tersebut walaupun telah berkali-kali saya memintanya. Harap tuan tolong saya. Sekian terima kasih.
Nurul Syahidah Rashid, Kuala Lumpur

Jawapan:
Waalaikumusalam. Pertama, saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda kerana telah mendapat keputusan yang cemerlang di dalam PMR. Kecemerlangan anda itu menyebabkan ayah anda telah memberikan anda hadiah yang lumayan iaitu sebuah telefon bimbit yang mahal. Namun masalah timbul apabila ayah anda mengambil semula telefon bimbit yang diberikannya kepada anda. Dia mengambil semula telefon itu disebabkan kesilapan yang dilakukan oleh anda iaitu anda terlalu asyik menggunakan telefon tersebut. Dia mengambil telefon tersebut mungkin juga disebabkan oleh beberapa faktor lain yang berkaitan. Pertama, mungkin dia melihat dengan adanya telefon tersebut anda terlalu asyik dan dia mungkin risau jika anda tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Kedua, mungkin ayah anda tidak mahu melihat anda mengabaikan pelajaran dan mendapat keputusan yang kurang baik selepas anda leka dengan telefon tersebut. Atau mungkin ada sebab-sebab lain yang anda lebih mengetahui yang membuatkan ayah anda tergamak mengambil dan menyimpannya semula.
Bagaimana cara mendapatkannya semula, ia sangat bergantung kepada cara anda berkomunikasi dan bagaimana anda dapat meyakinkan ayah bahawa anda tidak lalai dari tanggungjawab untuk belajar dan meningkatkan diri di dalam pelajaran. Anda juga perlu melihat apakah punca utama mengapa dia mengambil semula telefon tersebut. Punca utama itu perlulah anda selidiki dengan teliti dan cuba yakinkan padanya bahawa anda tidak akan mengulanginya lagi. Contohnya jika ayah anda melihat anda terlalu asyik dan leka menggunakan telefon untuk sms atau bercakap, maka anda perlu berbincang dengannya bahawa anda akan menggunakan telefon tersebut dengan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab. Mungkin anda boleh cadangkan kepadanya bila anda akan menggunakannya dan bila anda perlu menutup telefon tersebut. Saya jangka sekiranya ayah anda dapat memahami penerangan anda, dapat melihat kesungguhan anda dan dapat melihat janji anda ke arah yang lebih positif untuk menggunakan kemudahan (HP) tersebut, insyallah hatinya akan berubah. Selamat berusaha dan selamat mencuba.

ARTIKEL MINGGUAN
Perkembangan Diri:
Harga diri dan mengapa ia penting kepada seseorang?
Harga diri merupakan perasaan anda terhadap nilai diri anda. Ia wujud dari pemikiran, perasaan dan pengalaman yang anda lalui di dalam kehidupan anda. Kadang kala anda memikir dan merasakan diri anda bijak dan ada ketikanya anda merasakan diri anda bodoh dan pelik. Semua perasaan ini adalah penilaian diri anda terhadap harga diri anda. Jika anda merasakan bahawa anda bijak bermakna anda telah meletakkan nilai harga yang tinggi pada diri anda dan begitu juga sebaliknya. Nilai diri sangat berkait rapat dengan kejayaan, kreativiti dan perkembangan diri anda. Cuba bayangkan perasaan anda jika anda dipuji disebabkan oleh kerja-kerja yang anda lalukan. Dan bayangkan pula bagaimana perasaan anda jika anda dihina dan dicaci kerana perbuatan yang anda lakukan. Pujian dan cacian ini berkait rapat dengan nilai harga diri anda dan bagaimana anda melihat diri anda sendiri.
Apakah nilai harga diri anda? Di bawah ini diberikan tips bagaimana anda dapat mengenal nilai harga diri anda yang tinggi. Nilai harga diri anda tinggi jika:-
1. Anda boleh bertindak dan berfikir.
Anda sering berfikir tentang keputusan-keputusan di dalam hidup anda. Anda mampu memilih di antara yang baik dengan yang buruk. Anda boleh menggunakan wang dengan bijak, memilih pakaian yang sesuai, melihat pelajaran sebagai suatu yang penting dan seumpamannya.

2. Dapat melaksanakan tanggungjawab.
Anda bertindak secara sepontan apabila diberikan tanggungjawab dan anda dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Contohnya anda bertanggungjawab semasa berada di rumah dengan melakukan kerja-kerja yang berfaedah seperti mengemas tempat tidur, menyusun buku-buku pelajaran sebelum ke sekolah, membantu ibu bapa secara sukarela. Di sekolah anda belajar dan melakukan aktiviti dengan penuh tanggungjawab.




3. Bangga dengan kejayaan.
Anda rasa bangga dengan kejayaan yang telah anda capai. Bangga dengan rupa diri yang telah dianugerah Tuhan, bersyukur dengan keselesaan dan kejayaani, bangga dengan tugas-tugas yang telah dilaksanakan dengan selesai.

4. Menangani cabaran dengan tabah.
Bersedia menerima tugas-tugas baru, berani menghadapi cabaran dan ujian yang datang dan rasa yakin dan berani untuk menangani masalah-masalah yang mendatang. Anda berasa teruja untuk melaksanakan perkara-perkara baru di dalam hidup.

5. Dapat menunjukan emosi yang pelbagai. Anda menangis apabila kesedihan menimpa, anda gembira apabila berita gembira sampai kepada anda, anda marah jika sesuatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku tetapi berlaku. Anda tidak berdendam tetapi redha dengan ketentuan. Anda dapat bersedih dan bergembira pada masa-masa yang sesuai.

6. Berani berhadapan dengan rasa kecewa.
Rasa kecewa tidak menghampakan anda, malah kekecewaan memberikan suatu semangat baru untuk anda melenyapkan rasa kecewa dengan rasa gembira. Anda tidak mudah untuk rasa kecewa kerana bagi anda kegagalan merupakan langkah pertama untuk mencapai kejayaan.

7. Mampu untuk mempengaruhi orang lain.
Kehadiran anda memberikan rasa ceria kepada orang lain. Anda dapat banyak melihat senyuman orang lain semasa bersama-sama anda. Anda rasa tenang apabila bersama-sama dengan orang lain dan rakan-rakan sentiasa ingin bersama anda untuk membantu dan memberi sokongan.

No comments: