30 June, 2011

Bercinta Semasa Belajar

MASALAH MINGGUAN

Bercinta Semasa Belajar

Saya belajar di tingkatan 3. Tahun ini saya akan menghadapi peperiksaan PMR. Rupa paras saya boleh dikatakan cantik. Ramai pelajar lelaki yang menaruh hati kepada saya. Saya tidak melayan mereka kecuali seorang. Saya juga jatuh cinta dengan seorang pelajar lelaki di dalam kelas saya. Setiap hari saya berjumpa dengannya. Selepas balik sekolah untuk melepaskan rindu saya akan sms dan berbual melalui telefon bimbit sehingga lewat malam. Perkara yang saya musykilkan ialah adakah perbuatan saya ini akan mempengaruhi keputusan peperiksaan saya? Bagaimanakah cara agar saya mendapat keputusan yang cemerlang dan pada masa yang sama saya tetap berhubung dengannya. Harap tuan dapat bantu saya.
Intan Comel, Kapar, Klang.
Jawapan:
Anda kini berada pada tahap ujian yang sangat penting di dalam kehidupan persekolahan anda. PMR merupakan tahap ujian kedua selepas UPSR. Berkaitan paras rupa dan wajah anda bersyukurlah kepada Allah kerana anda telah dikurniakan wajah yang cantik. Sesungguhnya wajah yang cantik dan comel merupakan idaman semua manusia di dunia ini.
Kemusykilan anda ialah anda sedang ‘bercinta’ dengan rakan sekelas dan pada masa yang sama anda khuatir takut-takut percintaan tersebut akan memberi kesan negatif terhadap proses pembelajaran anda untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan PMR nanti. Dari apa yang anda ceritakan, iaitu anda sering berjumpa dengannya di sekolah dan apabila di rumah pula anda ber’sms’ dan bercakap dengannya melalui telefon bimbit sehingga lewat malam. Pernyataan anda sendiri telah jelas memberi bayangan bahawa perhubungan anda dengannya boleh memberi kesan negatif dari aspek masa dan tumpuan anda terhadap pelajaran. Untuk mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan anda perlu memberi tumpuan sepenuhnya dan mengurus masa secara berkesan. Untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan pada masa yang sama perhubungan anda dengan rakan anda itu tidak putus perlu ada satu persefahaman dan perjanjian yang boleh dilakukan. Anda dan dia perlu faham tentang matlamat pendidikan masing-masing. Anda dan dia perlu memahami bahawa perhubungan tersebut tidak akan menjejaskan apa-apa keputusan peperiksaan penggal, akhir, percubaan mahupun PMR. Jika anda dapat mengesan mana-mana keputusan yang merosot, anda dan dia perlu berbincang tentang hal ini dan dapat menanganinya. Masing-masing perlu faham tentang batas waktu berhubung dan masa untuk mengulangkaji dan belajar. Jika perkara-perkara ini difahami, insyallah perhubungan tersebut tidak akan memberi kesan yang negatif terhadap matlamat pelajaran anda. Cuma sekadar menasihati, jadikanlah persahabatan itu sebagai pendorong dan pembakar semangat untuk anda lebih maju di dalam pelajaran. Perhubungan interpersonal itu perlu untuk meningkatkan kemahiran berfikir dan mempertajam minda, namun pendidikan itu lebih penting lagi untuk kepuasan intrapersonal dan kecemerlangan masa depan anda. Sekian.
ARTIKEL MINGGUAN
Pengembangan Diri: Meningkatkan Kemahiran Perhubungan Interpersonal
Ramai pelajar yang mengambil ringan terhadap kemahiran berkomunikasi. Mereka tidak menganggap kemahiran komunikasi sangat penting sebagai alat untuk menyampaikan maklumat. Ramai pelajar yang menyampaikan sesuatu maklumat dengan cara yang salah dan tidak kurang pula mereka menanggap maklumat tersebut dengan persepsi yang salah. Hasil dari salah tanggapan ini boleh mendatangkan terputusnya perhubungan, dinginnya persahabatan dan terbentuknya permusuhan. Sedangkan kita sebagai manusia disuruh dan dituntut untuk menjaga perhubungan di antara kita sesama manusia dengan tidak mengabaikan perhubungan kita dengan Allah. Berikut diberikan tips bagaimana anda dapat meningkatkan perhubungan interpersonal anda.
1. Dengar dahulu.
Komunikasi merupakan perhubungan 2 hala. Sebelum anda memberi maklum balas anda perlu mendengar dahulu apa yang diperkatakan oleh orang yang bercakap dengan anda.
2. Tunjukkan minat.
Orang yang bercakap dengan anda memerlukan perhatian dan kesungguhan anda untuk mendengar dengan penuh minat. Jika anda mendengar sambil lewa orang yang bercakap dengan anda akan memendekan atau terus memberhentikan percakapannya.
3. Tenang.
Bahasa badan anda yang tenang akan memberikan keselesaan kepada orang yang sedang bercakap dengan anda. Elakkan dari menggoyangkan kaki, menoleh kiri dan kanan, ekspresi muka yang berkerut dan seumpamanya.
4. Senyuman.
Berikan senyuman dan renungan mata yang tidak tajam. Sesekali lemparkan senyuman dan sesekali melihat ke dalam anak mata orang yang sedang bercakap dengan anda. Senyuman dan pandangan mata dapat menimbulkan kemesraan.
5. Tanya soalan.
Sesekali anda ajukan soalan menandakan bahawa anda ingin benar-benar memahami perkara yang ingin disampaikan olehnya. Pada masa yang sama anda juga dapat memahami perkara yang ingin disampaikan.
6. Minta penjelasan.
Ada perkara yang anda kurang jelas dari percakapannya. Minta penjelasan darinya agar anda benar-benar memahami perkara yang cuba disampaikan kepada anda.
7. Tegas diri (assertive).
Tidak semestinya pebualan itu didominasi oleh orang yang bercakap dengan anda. Anda juga berhak untuk menyatakan sesuatu. Anda boleh bersetuju, boleh menolak dan boleh memberi cadangan yang lain.

No comments: